วันจันทร์ที่ 20 กรกฎาคม พ.ศ. 2552

Sejarah Pendidikan Islam di S.Thai

SEJARAH PENUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN
PENDIDIKAN ISLAM DI SELATAN THAILAND
OLEH:
Dr. MUHAMATSAKREE MANYUNU
JABATAN DIPLOMA PENDIDIKAN
UNIVERSITI ISLAM YALA, THAILAND

Pendahuluan
Masyarakat Melayu di Selatan Thailand adalah sebahagian daripada rumpun bangsa Melayu yang turun temurun dan berabad-abad lamanya mereka menduduki bumi Selatan ini. Kedatangan Islam sedikit sebanyak telah mengubah dan mempengaruhi cara hidup mereka sejak beberapa abad yang lalu. Menurut sejarah bahawa Islam telah sampai ke bumi Pattani (Selatan Thailand) pada abad 16 M. pada tahun 1564. (Kujik dan rakan, 1998). Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa Islam telah sampai ke Pattani sebelum abad ke 20 M. Manakala Maluleem (1995) mengatakan bahawa terdapat sumber sejarah menerangkan bahawa raja Pattani telah memeluk Islam lebih daripada 700 tahun.
Justeru itu, lahirlah institusi pendidikan Islam di Pattani (Selatan Thailand) melalui seorang pendakwah yang bernama Sheikh Safi al-Din, beliau telah dilantik oleh seorang raja untuk menangani pendidikan Islam di dalam istana raja. Bagaimanapun, ada pendapat berpendapat bahawa orang yang mula mengadakan pengajian Islam di rantau ini ialah Sheikh Said. Ia adalah pendakwah yang menyeru raja Pattani supaya memeluk agama Islam (Kujik dan rakan, 1998). Pada saat tersebut pendidikan Islam bergerak di tempat-tempat awam dalam bentuk halakah ilmiah seperti di surau, masjid dan rumah tuan guru. Setelah Islam bertapak di bumi Pattani, masyarakat mulai berhajat dan memerlu kepada ilmu-ilmu dan pendidikan agama yang dikenali dengan panggilan ‘pondok’. Sistem pengajian dan pendidikan dalam bentuk ini lahir pada tahun 1592. Sistem ini diasas oleh salah seorang ulama yang bernama Sheikh Fakih Wan Musa bin Khaidhir bin Ahmad al-Fatoni (Saad, 2001). Dari masa ke semasa bilangan pondok terus bertambah. Khususnya, apabila penuntut-penuntut yang menuntut ilmu pengetahuan di kota suci Mekah kembali ke tanah air. Adapun pusat pengajian yang dikenali dengan sekolah mulai lahir awal kali pada tahun 1929. Sekolah pertama yang diasaskan di Pattani ialah Madrasah Dar al-Ma‘arif al-Wataniah. Ia diasaskan oleh Hj. Sulung bin Hj. Ab.Kadir al-Fatoni setelah beliau balik dari tanah suci Mekah (Khun Thong Petr, 1968: 16; Sangkharat, 2001: 100).
Institusi pengajian Islam zaman peralihan
Setelah pengajian dan pendidikan Islam mulai bergerak di Selatan Thailand secara umumnya sistem pendidikan dalam bentuk pondok ini berkembang pesat pada tahun 1960. Terdapat sebanyak 50 buah pondok di dalam empat wilayah (Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun) dibangunkan. Manakala pada tahun 1968, bilangan pondok telah meningkat ke angka 206 buah (Keawdeang, 1968). Pada tahun 1952, kerajaan Thai mulai mengadakan polisi baru bagi pendidikan negara serta diadakan kurikulum khas bagi empat Wilayah Selatan di bawah pimpinan menteri dalam negeri yang ketika itu disandang oleh P.Pibul Songkram. Akan tetapi kurikulum tersebut belum terlaksana, kerana berlakunya revolusi ketenteraan yang menyebabkan rancangan tersebut tergendala. Pada tahun 1958, sekali lagi kerajaan Thai mengadakan polisi pendidikan baru dengan membahagikan wilayah-wilayah Thai kepada 12 kawasan pendidikan. Manakala wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Satun dicantumkan di dalam Kawasan Pendidikan II berdasarkan permasalahan yang hampir sama (Keawdeang, 1968).
Sehubungan dengan itu, pejabat pendidikan ditumbuhkan untuk menangani kepentingan tersebut. Ekoran dari penumbuhan Pejabat Pendidikan Kawasan II (Pusat Membina Kemajuan Daerah Pelajaran II-Yala) pada tahun 1958, pihak yang bertanggungjawab telah membentuk tiga jawatankuasa kecil untuk mengubah serta membangun sistem pendidikan di pusat-pusat pendidikan di Kawasan II ini. Jawatankuasa tersebut ialah jawatankuasa penasihat, jawatankuasa pembangunan kurikulum dan jawatankuasa pelaksanaan. Ketiga-tiga jawatankuasa tersebut, telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 11/9/1959 (Saad, 2001). Jawatankuasa ini juga telah membuat keputusan supaya diadakan perubahan bagi pusat-pusat pendidikan. Lantaran itu, jawatankuasa pelaksanaan telah mengeluarkan tiga resolusi penting. Didapati dua daripada tiga resolusi tersebut melibatkan secara langsung terhadap institusi pendidikan Islam yang dinamakan pondok pada ketika itu. Iaitu, pertama: mewajibkan pondok-pondok mendaftar secara rasmi dengan pihak kerajaan, kedua: memasukan pengajian bahasa Thai dan kemahiran hidup ke dalam kurikulum sekolah agama rakyat (Keawdeang, 1968). Hasil dari polisi tersebut, kerajaan telah berjaya mengadakan perubahan institusi pondok di kawasan ini sebanyak 140 buah. Proses perubahan ini mengguna masa 4 tahun, iaitu pada tahun 1965 sehingga tahun 1968.
Institusi pengajian Islam zaman sekarang
Proses pengajian dan pendidikan di kawasan Selatan Thailand sekarang terdapat dapat dibahagikan kepada pengajian formal dan tidak formal. Peluang pengajian terbuka kepada setiap lapisan masyarakat bermula dari kanak-kanak yang berumur tiga tahun seterusnya mereka yang telah dewasa dan orang tua. Seperti mana yang terdapat di kawasan Selatan taman asuhan kanak-kanak, sekolah agama rakyat di peringkat rendah (ibtida’i), menengah rendah (mutawassit), menengah tinggi (thanawi) dan di peringkat pengajian tinggi. Di samping itu, terdapat juga pengajian-pengajian mingguan yang diadakan di merata-rata tempat.
Walaupun berbagai bentuk dan peringkat pusat-pusat pendidikan Islam yang terdapat di kawasan Selatan Thailand sekarang. Akan tetapi pada kenyataannya yang memain peranan dalam mendidik dan membina generasi di samping mendapat perhatian dari setiap pihak ialah sekolah agama rakyat yang majoritinya adalah pondok-pondok yang telah diasaskan oleh alim ulama pada tahun 60-an dan 70-an (Sama-Ali, 2008). Bagaimanapun, pondok tersebut kebanyakannya telah berubah sistemnya kepada sistem persekolahan seperti mana telah diterangkan di atas. Sekolah-sekolah tersebut telah berdaftar secara rasmi dengan pihak kementerian pendidikan sebagai sekolah agama rakyat. Di samping itu, didapati juga sekolah-sekolah yang telah berdaftar tidak lagi berperanan yang sewajarnya dalam menjalankan tugas sebagai institusi pengajian. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Membina Kemajuan Daerah Pelajaran II didapati bahawa lebih daripada 50 peratus sekolah-sekolah agama rakyat tersebut tidak lagi beroperasi (Sthiti Karnsuksa Rongrian Aekachon Sorn Sasana Islam Pi 2542, 1999: 8). Butiran lanjut adalah seperti berikut:
Jadual 1.1
Sekolah-sekolah di kawasan Selatan Thailand
Wilayah Berdaftar Masih berperanan Telah berhenti
Pattani 159 58 101
Yala 87 28 59
Narathiwat 64 56 8
Satun 18 12 4
Jumlah 326 154 (47.24%) 172 (52.76%)
Jadual di atas menunjukkan bahawa sekolah-sekolah agama rakyat di kawasan ini yang berdaftar dengan pihak kerajaan berjumlah 326 buah, tetapi yang benar-benar menjalankan urusan pembelajaran menurut sistem baru hanya 154 buah sekolah (47.24%) sahaja, yang baki 172 (52.76%) telah berhenti urusannya (Sthiti Karnsuksa Rongrian Eakachon Sorn Sasana Islam, 1999: 8). Ini, berlaku sebagai kesan dari penekanan masyarakat yang ingin melihat prestasi pembelajaran anak-anak mereka itu cemerlang, sama ada bagi aliran pengajian Islam ataupun aliran pengajian sains sosial. Kecemerlangan itu biasanya terdapat pada sekolah-sekolah yang besar atau yang sederhana sahaja. Ini kerana di sekolah-sekolah tersebut, pembelajarannya lebih sistematik dan guru-gurunya berwibawa dalam jurusannya serta kebanyakan mereka berkelulusan dari universiti, sama ada di dalam ataupun di luar negara.
Di sini, dapat difahami bahawa masyarakat setempat bukan sahaja berminat supaya anak-anak mereka dapat dididik dengan ilmu agama yang cemerlang, malah ikut cemerlang juga dalam ilmu akademik. Kebiasaannya, ilmu atau aliran pengajian sains sosial yang boleh memuaskan kehendak masyarakat terdapat pada sekolah-sekolah yang besar atau sederhana. Oleh sebab, di sini disediakan beberapa alat pembantu pengajian yang moden dan sistem pengajiannya bersistematik dan setaraf dengan sekolah-sekolah kerajaan. Melalui pengajian di sini pelajar-pelajar akan dapat bersaing dengan pelajar dari sekolah kerajaan. Ini membuktikan sistem pengajian di sekolah awam mempengaruhi pelaksanaan kurikulum pendidikan di sekolah agama rakyat.
Dari statistik yang telah dibentangkan di atas, didapati bahawa sekolah agama rakyat yang berdaftar rasmi dengan pihak kementerian pendidikan masih berperanan atau beroperasi hanya 154 buah sekolah atau 47.26 peratus di dalam empat wilayah. Sekolah tersebut boleh dikategorikan kepada dua bentuk sistem pengajian. Pertamanya, sekolah yang hanya menyediakan ilmu pengajian Islam. Keduanya, sekolah yang mengajar ilmu pengajian Islam dan ilmu pengajian sains sosial (Sthiti Karnsuksa Rongrian Aekachon Sorn Sasana Islam Pi 2542, 1999: 10).
Kesimpulannya, proses memperbaiki institusi pengajian Islam dari sistem pondok menjadi sistem sekolah yang dijalankan oleh pihak kerajaan Thai boleh dibahagikan kepada lima peringkat seperti berikut:
Peringkat I (1957-1960):
Pada peringkat ini kerajaan Thai berusaha memperbaiki institusi pondok yang sedia ada. Pada tahun 1957 pihak Kabinet Menteri meluluskan rancangan memperbaiki pendidikan seluruh negara dengan membahagikan daerah pengajian kepada 12. Daerah Pengajian II Yala (Samnakngan Suksathikarn Khet II) terdiri daripada empat wilayah Selatan: Pattani, Narathiwat, Yala dan Satun. Pada 1959 pihak pentadbiran Daerah Pengajian II dengan kerjasama dari pihak Kementerian Dalam Negeri menganjurkan satu seminar di Pusat Membina Kemajuan Daerah Pelajaran II Yala. Seminar tersebut disertai oleh pihak Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Majlis Sheikh Islam, Kadi-kadi, Majlis Agama Islam Wilayah dan tuan-tuan guru pondok. Seminar tersebut bertujuan seperti berikut (Phothipukkana dan rakan, 1990: 15):
Supaya setiap pondok bersetuju dengan pelan memperbaiki yang dicadangkan oleh Kerajaan.
Supaya memperbaiki binaan dan kawasan pondok-pondok serta membina jalan ke kawasannya dan juga mengadakan papan tanda namanya.
Memperbaiki mutu pengajaran dengan mengadakan kurikulum pengajian. Dengan ini pengajarannya berkelas-kelas serta dijadikan Bahasa Thai dan Kemahiran Hidup sebagai salah satu subjek pengajiannya.
Dituntut supaya menjalani penilaian pembelajaran di pondok, dan penilaian itu di bawah tanggungjawab Wilayah dan Daerah Pengajian.
Peringkat II (1961-1964):
Hasil perbincangan dalam seminar pada peringkat pertama tadi diserahkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Thai. Tidak lama kemudian Kementerian Pendidikan mengeluarkan satu piagam memperbaiki institusi pondok. Butirannya adalah berikut (Khet Karnsuksa II, T.th: 5):
Mana-mana pondok yang berhasrat untuk memperbaiki urusannya diharap membuat permohonan supaya berdaftar dengan pihak kerajaan dengan suka rela.
Mana-mana pondok yang telah berdaftar dikehendaki menjalani pengajaran dan pembelajarannya mengikut kurikulum pendidikan Islam, Bahasa Thai dan Kemahiran hidup.
Mana-mana pondok yang menguruskan pengajaran dan pembelajarannya dengan baik akan dipilih untuk menerima Anugerah Diraja yang merupakan sumbangan wang.
Peringkat III (1965-1970):
Pada peringkat ini pihak kerajaan Thai menggalakkan pondok-pondok supaya berubah menjadi sekolah rakyat mengajar agama Islam menurut Perlembagaan Sekolah Rakyat 1954 (Khet Karnsuksa II, 1999: 1). Ia merupakan pondok di kawasan empat wilayah Selatan yang diperbaiki menjadi sekolah mengikut Projek Perbaikan Pondok Menjadi Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam Tahun 1965 sahaja (Keawdeang, 1968: 6). Justeru, Kerajaan merancang satu polisi untuk menggalak pihak pondok, dengan memberikan sumbangan wang sebanyak 100,000 Thai Baht bagi mana-mana pondok (yang telah berdaftar) yang mengubah statusnya menjadi sebuah Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam. Pada tanggal 14 Jun 1966 pihak Kabinet Menteri meluluskan satu resolusi yang bertujuan mengharamkan mana-mana individu mendirikan pondok baru. Sesiapa yang melanggar akan didenda (Karn Suksa Saphap Panha Tang Karn Suksa, 1984: 12). Di samping itu, pondok-pondok yang telah didirikan sebelum ini mesti berdaftar dengan pihak Kerajaan sebelum 31 Disember 1966 serta menukarkan statusnya menjadi Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam selewat-selewatnya 15 Jun 1971. Selepas tarikh ini mana-mana pondok yang belum menukar statusnya kepada Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam akan dibatalkan permit pengurusannya.
Peringkat IV (1971-1981):
Peringkat ini ialah peringkat yang kebanyakan pondok telah berubah menjadi Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam. Dengan ini Kerajaan telah meluluskan beberapa projek untuk memperbaiki Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam. Sebelum ini, pada September 1970 kerajaan telah mengisytiharkan Projek Penyumbangan Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam Tahun 1970 dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti pengajian aliran pengajian Islam dan aliran pengajian sains sosial yang boleh menyelaraskan Pelan Pendidikan Negara dan Pelan Kemajuan Bahagian Selatan. Kesan projek ini juga dapat merapatkan fahaman antara rakyat dengan Kerajaan. Pada peringkat ini urusan memperbaiki Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam adalah di bawah tanggungjawab Pejabat Pengajian Swasta (Samnakngan Kanakamakarn Karn Suksa Aekachon). Pejabat ini bertanggungjawab dalam menguruskan projek sumbangan kepada sekolah-sekolah yang sedang diproses untuk menjadi Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam. Salah satu sumbangan yang dicadangkan oleh pihak Pejabat Pengajian Swasta tersebut ialah pembaharuan pengurusan pengajaran dalam sekolah rakyat mengajar agama Islam dengan membahagikan sekolah itu kepada dua aliran pengajian. Pertamanya aliran pengajian Islam: iaitu dengan menggabung bersama Pusat Pengajian Daerah Pelajaran II-Yala untuk membangunkan kurikulum aliran pengajian Islam. Ia seperti berikut: kurikulum peringkat ibtida’i, kurikulum peringkat mutawassit dan kurikulum peringkat thanawi. Keduanya aliran pengajian sains sosial: iaitu kurikulum-kurikulum yang dapat keizinan dari pihak Kementerian Pendidikan seperti berikut: kurikulum menengah rendah, kurikulum menengah tinggi dan kurikulum pengajian dewasa (Phothipukkana dan rakan, 1990: 18; Khet Karnsuksa II, T.th: 5).
Peringkat V (1982- ):
Pada tahun 1982 kerajaan Thai mengisytiharkan penggunaan Lembaga Sekolah Agama Rakyat Tahun 1982, dengan demikian Sekolah Rakyat Mengajar Agama Islam ditukarkan namanya menjadi Sekolah Agama Rakyat. Pembaikan Sekolah Agama Rakyat yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan ini selaras dengan Pelan Perkembangan Ekonomi dan Sosial Negara IV. Antara tahun 1982 hingga 1986 pihak Kementerian Pendidikan telah melaksanakan projek sumbangan kepada sekolah agama rakyat dan tujuannya adalah seperti berikut (Phothipukkana dan rakan, 1990: 20-22 ):
Supaya pengurusan perkembangan sekolah agama rakyat selaras dengan polisi Kerajaan.
Menggalakkan sekolah agama rakyat supaya dapat menguruskan pengajian aliran pengajian Islam, aliran pengajian sains sosial dan kemahiran hidup dengan baik dan selaras dengan tujuan Pelan Perkembangan Ekonomi dan Sosial Negara IV.
Meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah agama rakyat.
Penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa pendidikan Islam dalam masyarakat Islam di Selatan Thailand sejak dari kedatangan Islam ke rantau ini hingga kini telah melalui beberapa proses perubahan dan peningkatan iaitu:
Pertama: kedudukannya dari sudut bilangan
Pada peringkat permulaan dalam tempoh masa yang tidak melebihi sepuluh tahun bilangan institusi pondok telah meningkat daripada angka puluhan kepada angka ratusan.
Meskipun pada peringkat permulaan bilangannya meningkat, tetapi dalam tempoh masa yang tidak beberapa dekat didapati sebahagian daripada institusi yang telah lahir itu terpaksa berhenti. Malah didapati lebih daripada lima puluh peratus dari jumlah semua yang telah ditumbuhkan telah berhenti.
Kedua: kedudukannya dari sudut sistem pembelajaran
Pada peringkat permulaan, sistem pembelajaran dalam institusi-institusi tersebut berbentuk halakah yang terkenal dengan pengajian pondok. Manakala pengajiannya pula hanya menjurus kepada ilmu-ilmu syariat sahaja.
Setelah itu, berlaku suatu perubahan ke arah yang lebih sistematik, iaitu lahir pengajian dalam bentuk persekolahan, tetapi pengajiannya masih terbatas kepada pengajian ilmu-ilmu syariat.
Setelah beberapa tahun kemudian, didapati sebahagian daripada institusi itu dimasukkan pengajian bahasa Thai dan kemahiran hidup yang akhirnya institusi-institusi itu diadakan pula pengajian semasa atau pengajian sains sosial (Saad, 2001).
Di sini, tidak boleh dinafikan bahawa sekolah agama rakyat di Selatan Thailand menjadi tempat tumpuan yang paling digemari ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka melanjut pelajaran. Oleh sebab itu, jumlah kanak-kanak yang menyambung pengajian mereka di sekolah agama rakyat lebih banyak daripada jumlah yang menyertai sekolah kebangsaan kerajaan. Di samping itu kebanyakan mereka mengutamakan sekolah agama rakyat yang menyediakan dua aliran daripada yang mengajar satu aliran sahaja, iaitu aliran pengajian Islam, kerana di sini mereka boleh mendalami ilmu agama dan juga ilmu moden yang membolehkan mereka melanjutkan pengajian sama ada di institusi pengajian Islam di Asia Barat di negara-negara Islam yang lain, atau di institusi pengajian tinggi setempat.

Rujukan:
Karn Suksa Saphap Panha Tang Karn Suksa lea Ittiphon thi Song Phon Kratop tor Karn dai Rian tor Chan Matayom Suksa Pi Thi I nai Rongrian Matayom Sai Saman lea Rongrian Aekachon Sorn Sasana Islam khong Nakrian Nabtue Sasana Islam nai Khet Karn Suksa II. (1984). Yala: Samnakngan Suksathikarn Khet II.
Keawdeang, Rung. (1968). Thasanakhati Tokkhru tor Karnpraprung Pornok Pen Rongrian Rard Sorn Sasana Islam. Tesis Ijazah Sarjana yang belum diterbitkarn, Bangkok: Staban Bandid Phattana Barihansard.
Khet Karnsuksa II. (T.th). Raingan Sarup Karnpattana Kunaphap Karnsuksa Rongrian Aekachon Sorn Sasana Islam Khet Karnsuksa II. Yala: Samnakngan Suksathikarn Khet
Khun Thong Petr, Chalermkiat. (1968). Karn Tortarn Nayobai Khong Rathabarn 4 Changwad Parktai. Tesis Ijazah Sarjana yang belum diterbitkan, Bangkok: Sillapakorn Universiti.
Kujik, Tengku Arifin dan Abdullah Laorman. (1998). Langka Suka Pattani Dar al-Salam. Yala: Pusat Kebudayaan Sempadan Selatan.
Maluleem, Imran. (1995). Wikrok Khuam Khatyeang Rawang Rattaban Thai kap Muslim nai Prated Thai. Bangkok: Islamic Academy.
Phothipukkana, Thida & Imchid Lerdpongsombad. (1990). Raingarn Karn Samruad: Saphap Hongsamud Roirian Aekachon Sorn Sasana Islam Changwad Chaideang Parktai. Bangkok: Samnakngarn Kana Kamakarn Karn Suksa Aekachon.
Saad, Ab.Kadir Ahmad. (2001). Dakwah Islamiah: Satu Kajian Terhadap Sejarah Perkembangan Pendidikan Islam Masyarakat Melayu Pattani. Journal Pengajian Islam, Yala: Kolej Islam Yala.
Sama-Ali, Abdulroma. (2008). Botbart Kru Sorn Sasana Rongrian Aekchon Sorn Sasana Islam Nai Karn Pattana Chumchon Changwad Chaidean Parktai Torn Lang. Tesis Sarjana Pendidikan Belum diterbitkan, Songkhla: Taksin University.
Sangkarat, Winich. (2001). Adeet Anakhut Lea Pachuban Rongrian Aekachon Sorn Sasana Islam (Pondok) Nai Changwad Chaideang Park Tai. Tesis Ijazah Sarjana yang belum diterbitkan, Chiangmai: Chiangmai University.
Sthiti Karn Suksa Rongrain Aekachon Son Sasana Islam Pi 2542. (1999).Yala: Klumnited Karnsuksa Aekachon-Khet Karnsuksa II.

ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น